Ini Faktor Yang Mendorong Dolar Aussie dan Kiwi Pamer Peningkatan Berterusan

281

Dagangan sesi Asia hari ini menyaksikan beberapa data penting dari Australia, New Zealand dan China diterbitkan yang telah mempengaruhi pergerakan matawang Asia.

Dagangan kiwi dan Aussie mempamerkan momentum pengukuhan dalam sesi Asia pagi ini dengan terus mengalami peningkatan berbanding dolar USD dan matawang safe-haven yen didorong oleh data-data yang lebih baik dan pemotongan kadar faedah oleh Fed.

Dolar Aussie terus mengalami peningkatan sehingga mencecah paras tertinggi dalam tiga bulan pada $0.692 manakala dagangan kiwi pula terus diangkat untuk diniagakan di atas paras $0.642 berbanding dolar USD.

Pakar ekonomi Westpac telah mengubah jangkaannya terhadap kadar faedah New Zealand dengan meramalkan bahawa tiada pemotongan kadar faedah akan dilakukan oleh Reserve Bank of New Zealand (RBNZ) pada mesyuarat polisi 13 November ini.

Laporan indeks keyakinan perniagaan New Zealand jatuh kepada -42.4 pada bulan Oktober 2019 daripada -53.5 yang dicatatkan pada bulan lalu, menunjukkan pemulihan daripada bacaan terendah sejak April 2008. Selain itu, angka permit pembangunan juga mencatatkan peningkatan kepada 7.2% bagi bulan September daripada 0.9% pada bulan sebelumnya.

Sementara itu, data permit bangunan Australia juga menunjukkan peningkatan yang lebih baik daripada yang diunjurkan iaitu daripada 0.1% kepada 7.6% manakala indeks harga import dan eksport yang lebih baik juga membantu mengangkat dolar Aussie untuk diniagakan lebih tinggi.

Terkesan akibat pertikaian perdagangan AS dan China yang masih belum selesai, laporan PMI Pembuatan dari China, tanpa dijangka telah mencatatkan penurunan kepada 49.3 pada bulan Oktober daripada 49.8 sebelum ini yang menandakan penguncupan selama enam bulan berturut-turut dalam aktiviti perkilangan.

Walaupun dengan data PMI China yang lemah, dolar Australia dan New Zealand masih meneruskan pengukuhannya yang turut disokong oleh pengurangan kadar faedah oleh Fed sebanyak 0.25%, menyebabkan dolar USD terus mengalami kemerosotan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat