Lonjakan kadar inflasi Kanada dilihat gagal merangsang pergerakan dolar loonie untuk mencatat keuntungan berbanding US dolar.
Menurut laporan yang dikeluarkan Jabatan Statistik, inflasi tahunan Kanada meningkat tahap tertinggi sejak 2003 sebanyak 4.7% pada bulan Oktober daripada 4.4% yang dicatatkan sebelumnya.
Namun secara bulanan, indeks harga pengguna (CPI) dicatatkan selaras dengan jangkaan pasaran untuk meningkat 1.7%. Sementara bacaan CPI biasa yang menjadi ukuran bagi prestasi ekonomi Kanada, dilihat tersasar dari jangkaan dengan catatan tidak berubah pada 1.8%.
Ini membuatkan dagangan dolar loonie gagal memberi reaksi, sebaliknya susut lebih rendah ke paras terlemah enam minggu. Pada sesi Eropah, loonie diniagakan di sekitar harga 1.2600 berbanding dolar greenback yang kuat.
Selain itu, matawang komoditi itu turut terkesan dengan penyusutan harga minyak mentah dunia selepas Amerika Syarikat dilaporkan telah menggesa pengguna utama dunia, China dan Jepun untuk menggunakan bekalan dalam rizab minyak mereka bagi membantu meredakan harga minyak yang tinggi.
Dagangan minyak mentah merosot ke paras terendah enam minggu susulan laporan tersebut.