Ini Terjadi Pada Pasaran Matawang Selepas Keadaan Kembali Stabil!

591

Pasaran kembali stabil selepas kekacauan yang berlaku pada Khamis, menyaksikan US dolar mengurangkan keuntungannya dengan turut disusuli oleh dagangan safe-haven lain ketika sesi Asia.

Ini susulan tindak balas daripada negara-negara Barat terhadap serangan Rusia ke atas Ukraine yang tidak setegas seperti yang dijangkakan.

Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengumumkan beberapa siri sekatan ke atas institusi dan rakyat Rusia, tetapi tidak melibatkan minyak dan gas atau sistem pembayaran antara bank global SWIFT.

Ini membuatkan pelabur yang sebelum ini bimbang tentang inflasi dalam sektor tenaga, lega kerana ia tidak termasuk dalam sekatan yang dikenakan ke atas Rusia.

US dolar sedikit berundur dari paras tertinggi sejak Jun 2020 yang dicapainya pada sesi sebelum ini, namun masih didagangkan lebih tinggi berbanding pesaing utamanya yang lain dengan indeks dolar kukuh pada paras harga 97.00.

Data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS yang dikeluarkan pada sesi New York menunjukkan ekonomi terus berkembang pada suku keempat dengan menepati ramalan untuk pertumbuhan 7.0%.

Sementara mata wang safe-haven yen dan swiss franc juga menyusut dari tahap tertinggi tiga minggu, menandakan sentimen terhadap aset berisiko perlahan-lahan meningkat.

Walaupun sedikit meningkat, tetapi euro kekal didagangkan di tahap terlemah sejak Jun 2020 berikutan kenyataan penggubal dasar Bank Pusat Eropah (ECB) bahawa mereka mungkin menangguhkan penamatan pelonggaran kuantitatif disebabkan situasi di Ukraine.

Mata wang pound juga terus suram di paras terendah dua bulan berbanding US dolar meskipun berhasil mengurangkan sedikit kerugian yang dicatatkan pada sesi sebelum ini.

Dolar Kanada pula kembali stabil setelah tergelincir dua bulan ketika dagangan minyak mentah dunia terus menguat di puncak tertinggi sejak September 2014.

Meskipun risiko dalam pasaran sedikit mereda, namun pelabur masih lagi berwaspada ekoran ketidaktentuan yang berlegar mengenai krisis Ukraine dan Rusia.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat