Raja matawang US dolar terus melanjutkan penurunan lebih rendah pada sesi Eropah selepas pengumuman dasar monetari oleh Federal Reserve (Fed) yang menunjukkan bank pusat tidak tergesa-gesa untuk mengurangkan pembelian bon.
Walaupun Fed mengatakan terdapat kemajuan ke arah mencapai sasaran bank pusat, tetapi para pembuat dasar akan menilai lebih lanjut kemajuan tersebut pada mesyuarat akan datang.
Pengerusi Jerome Powell juga mengatakan para pembuat dasar ada berbincang mengenai pengurangan ketika pertemuan tersebut, namun tiada keputusan dibuat susulan perbincangan itu.
Dolar greenback menjunam ke paras terendah tiga minggu berbanding pesaing utama, dengan indeks dolar diniagakan pada 92.05.
Matawang pound memanfaatkan kelemahan USD untuk meningkat ke paras tertinggi empat minggu, walaupun terdapat peningkatan kes coronavirus di UK selepas tujuh hari berturut-turut mencatatkan penurunan.
Sementara itu, matawang euro turut mencatatkan pengukuhan dengan didagangkan di sekitar paras ketinggian dua minggu berbanding US dolar.
Di sisi lain, dolar Aussie dan New Zealand turut meningkat lebih tinggi berikutan penyusutan US dolar, selain turut disokong oleh sentimen yang lebih baik dalam pasaran saham Asia selepas China mengurangkan tekanan terhadap syarikat teknologi.
Tumpuan pasaran seterusnya akan beralih kepada penerbitan data anggaran pertama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS pada malam ini yang dijangka akan menunjukkan peningkatan pada suku kedua tahun ini.