IPO CTOS Digital Rekod Lebihan Langganan 27.57 Kali

283

Harga tawaran awam permulaan (IPO) CTOS Digital Bhd yang akan bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia telah mencatatkan lebihan langganan sebanyak 27.57 kali.

Menerusi satu kenyataan semalam, syarikat itu berkata, telah menerima sebanyak 51,494 permohonan untuk 1.26 bilion saham dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1.38 bilion daripada 44 juta saham yang tersedia untuk permohonan.

Bagi bahagian Bumiputera, IPO syarikat berkenaan mencatatkan lebihan langganan sebanyak 14.37 kali dengan sejumlah 14.192 permohonan untuk 338.1 juta saham terbitan diterima manakala bahagian awam pula mencatatkan lebihan langganan sebanyak 40.77 kali dengan sejumlah 37.302 permohonan untuk 918.9 juta saham terbitan diterima.

“Penawaran institusi berjumlah 936 juta saham IPO terdiri daripada 900 juta saham tawaran dan 36 juta saham terbitan yang ditawarkan kepada pelabur tempatan dan institusi asing serta pelabur terpilih Malaysia telah dilanggan sepenuhnya.

“Sebanyak 23 pelabur asas melanggan 54.4% daripada penawaran institusi dan baki saham yang tersedia untuk penetapan harga melihat pemintaan luar biasa apabila mencatatkan melebihi RM6.5 bilion,” ujarnya seperti dilaporkan oleh Bernama.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Dennis Martin berkata, lebihan langganan kukuh itu dalam penawaran runcit dan institusi menunjukkan keyakinan masyarakat pelaburan terhadap rekod prestasi dan trajektori pertumbuhan yang mantap.

“Cita-cita kami adalah untuk membangunkan ekosistem laporan kredit yang komprehensif di rantau ini, sambutan daripada masyarakat pelaburan di institusi dan runcit, mencerminkan keyakinan mereka terhadap kemampuan kita untuk merealisasikan hasrat tersebut,” jelasnya.

CTOS Digital dijadualkan untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 19 Julai kelak dengan harga IPO RM1.10 sesaham dengan permodalan pasaran sebanyak RM2.4 bilion.

Langkah IPO itu merangkumi terbitan awam sebanyak 200 juta saham baharu dan peruntukan tawaran untuk penjualan 900 juta saham sedia ada.

“Daripada hasil IPO baharu RM220 juta itu, sebanyak RM155.2 juta akan digunakan untuk pembayaran balik semua pinjaman bank untuk melangsaikan hutang manakala RM59 juta akan diperuntukkan untuk pelaburan dan pengambilalihan syarikat yang dikenal pasti.

“Baki RM6.1 juta akan digunakan untuk menampung bayaran dan perbelanjaan penyenaraian,” menurutnya.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat