Sejurus pengumuman kejatuhan FashionValet, yang mencatat kerugian sebanyak RM43.9 juta akibat pelaburan yang gagal, isu ini terus mendapat perhatian yang meluas daripada rakyat dengan pelbagai reaksi, baik positif mahupun negatif.
Tindakan Bertanggungjawab Pengasas
Dalam menghadapi desakan daripada netizen untuk memberikan penjelasan mengenai kejadian yang berlaku, pasangan suami isteri, Vivy Yusof dan Fadzarudin Anuar, yang merupakan pengasas syarikat tersebut, mengumumkan peletakan jawatan mereka melalui satu kenyataan di platform Instagram.
Langkah ini diambil sebagai satu bentuk tanggungjawab terhadap pelabur dan untuk mengelakkan situasi yang lebih buruk bagi syarikat yang sedang dalam proses untuk pulih.
Mereka mengakui bahawa strategi pengembangan yang terlalu agresif sebelum pandemik COVID-19 telah menyumbang kepada masalah ini.
SPRM Masuki Arena
Berita kerugian ini menarik perhatian Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), yang kini mengambil bahagian untuk memantau situasi tersebut.
Pada hari Sabtu yang lalu, SPRM telah mengeluarkan kenyataan untuk memulakan penyelidikan terhadap pengurusan pelaburan Khazanah dan PNB untuk memastikan tiada unsur salah urus atau penyelewengan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, menekankan kepentingan siasatan ini, memandangkan ia melibatkan dana awam yang signifikan bagi kepentingan masyarakat.
Beliau menggesa orang ramai untuk tidak terlibat dalam spekulasi yang boleh merosakkan reputasi pihak-pihak terlibat.
Arahan Perdana Menteri
Memberikan respons terhadap situasi ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Khazanah Nasional Bhd untuk menjalankan audit dalaman terhadap pelaburan merugikan mereka dalam FashionValet.
Arahan tegas ini menunjukkan keseriusan kerajaan dalam memperbaiki sistem tadbir urus, yang juga merangkumi arahan untuk Jabatan Audit Negara mengaudit 2,000 syarikat berkaitan kerajaan.
Anwar selaku pengerusi Khazanah, menyatakan bahawa langkah ini adalah penting untuk memastikan integriti dan keberkesanan pengurusan dana awam.
Setakat ini, netizen masih lagi tidak dapat meneka pengakhiran kes ini.
Adakah ia akan berakhir sebagai satu kegagalan nyata dalam dunia perniagaan, atau mungkin terdapat ‘tea’ yang lebih besar di sebalik isu ini yang menunggu untuk didedahkan?