Belum habis lagi dengan isu sensasi Fashion Valet, giliran Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) berdepan kritikan hebat apabila CEO syarikat tersebut menerima bonus RM210,000, walaupun hanya mencapai 42% daripada Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.
Mas Ermieyati Samsudin, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), menuntut pihak berkuasa untuk membuat siasatan lanjut berhubung perkara ini, yang dilihat mencemarkan prinsip pengurusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Keputusan PHB untuk memberikan bonus setara dengan tiga bulan gaji pokok kepada CEO mencetuskan kemarahan ramai, terutama setelah pendedahan bahawa syarikat tersebut telah merancang memberikan bonus percutian mewah kepada pekerjanya.
Ini berlaku walaupun PHB tidak mencapai KPI yang ditetapkan dan tidak membuahkan sebarang pencapaian, yang menimbulkan persoalan mengenai sumber dana bonus tersebut.
Ermieyati berpendapat, situasi di PHB perlu diperjelaskan kepada awam untuk memastikan ketelusan dalam mengendalikan syarikat.
Syarikat tersebut kini berdepan risiko kejatuhan reputasi yang serius, di tengah-tengah tekanan untuk memastikan keadilan dan ketelusan dalam pengurusan GLC.
Dengan siasatan yang sedang dijalankan, persoalan utama adalah sama ada langkah pemulihan dan akauntabiliti akan diambil untuk mencegah penyalahgunaan kuasa dalam organisasi yang dibiayai oleh rakyat.
Setelah kerosakan besar yang ditimbulkan oleh 1MDB dan isu FashionValet, kini perhatian beralih kepada PHB.
Ironinya, semua isu ini melibatkan pihak kerajaan, menimbulkan persoalan mendalam di kalangan rakyat: Adakah usaha dan tenaga mereka selama ini hanya untuk membolehkan kerajaan membelanjakan wang tanpa sebarang tanggungjawab?
Rakyat berhak menuntut ketelusan dan akuntabiliti dalam setiap tindakan yang diambil, supaya sejarah tidak berulang dan kepercayaan kepada institusi awam dapat dipulihkan!