Jadi Perhatian Pelabur, Saham Focus Point Diramal Untung

402

Firma penyelidikan kewangan, Hong Leong IB Research mengekalkan unjuran pembelian saham terhadap Focus Point Holdings Bhd tetapi meningkatkan harga sasaran kepada 88 sen daripada 52 sen sebelum ini, berdasarkan ramalan syarikat tersebut akan kembali meraih keuntungan pada separuh kedua tahun ini yang dipacu oleh divisyen makanan dan minuman (F&B).

Menurut laporan The Edge, harga sasaran tersebut adalah 42% lebih tinggi berbanding harga yang didagangkan pada 62 sen.

Ujar penganalisis HLIB, Gan Huan Wen, bilangan jualan korporat tertinggi, ditambah dengan pembukaan dua restoran akan memacu keuntungan dalam segmen F&B syarikat berkenaan.

“Memasuki separuh kedua tahun ini, kami menjangkakan klien korporat terbesar Focus Point akan terus meningkatkan jumlah tempahan selain berterusan membuka lebih cawangan restoran serta terus bergantung kepada Focus Point sebagai pembekal utama,” jelas Huan Wen.

Dalam pada itu, restoran kedua Focus Point dijangka akan menjana keuntungan sebanyak lebih RM4 juta setiap bulan daripada penjualan korporat sekiranya beroperasi pada kapasiti maksimum.

“Kami meramalkan restoran kedua itu hanya akan beroperasi pada akhir separuh kedua tahun ini berikutan perlu menjalani beberapa proses dan permohonan pensijilan makanan,” tambah Huan Wen.

Sementara itu, Focus Point memaklumkan penjualan bagi segmen optikal mula bertambah positif selepas peningkatan permintaan selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan.

Focus Point sebelum ini mencatatkan kerugian sebanyak RM1.93 juta pada suku kedua tahun ini berakhir 30 Jun berbanding keuntungan sebanyak RM1.68 juta yang direkodkan pada tahun lalu.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat