Jaga-Jaga Dengan Ancaman Nuklear Korea Utara

433

Korea Utara didakwa sedang membangunkan peranti nuklear berbentuk miniatur untuk dipasang pada kepala peledak peluru berpandu, menurut laporan sulit dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut laporan berkenaan membabitkan beberapa panel pakar yang memantau sekatan PBB, mereka percaya Pyongyang membangunkan peranti terbabit menerusi enam ujian nuklear yang dijalankan.

Berdasarkan laporan itu lagi, Korea Utara meneruskan program nuklear termasuk pembuatan uranium dan reaktor air ringan meskipun Pyongyang tidak menjalankan sebarang ujian nuklear sejak September 2017.

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un pada minggu lalu memberi jaminan bahawa tiada peperangan akan tercetus melainkan wujud ancaman luar.

Tambah laporan tersebut, Pyongyang mungkin akan membangunkan lebih banyak peranti berbentuk miniatur yang bertujuan untuk membangunkan pelbagai sistem kepala peledak nuklear.

Korea Utara berdepan sekatan PBB sejak 2016 susulan program nuklear dan peluru berpandunya. PBB bertindak menghentikan semua dana terhadap program terbabit.

Berikutan itu, Jong-un dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah mengadakan pertemuan serampang dua mata sebanyak tiga kali sejak 2018 namun gagal persetujuan berhubung desakan AS terhadap Pyongyang supaya menghentikan semua program senjata nuklearnya serta tuntutan Korea Utara supaya sekatan ke atas mereka ditarik balik.

Tahun lalu, Korea Utara didakwa ‘menjana pendapatan’ sebanyak 2 bilion dollar menerusi serangan siber ke atas bank-bank dan pertukaran mata wang kripto.

Anda mungkin juga berminat