Harga minyak tampaknya memberi reaksi sebaliknya selepas Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden mengumumkan bahawa pentadbirannya akan melepaskan bekalan daripada Rizab Petroleum Strategik (SPR) untuk mengurangkan harga.
Pada sesi New York sebelum ini, Biden mengatakan mereka akan mengeluarkan berjuta-juta tong minyak daripada rizab strategik yang selaras dengan China, India, Korea Selatan, Jepun dan UK.
Untuk permulaan, AS akan mengeluarkan sebanyak 50 juta tong daripada simpanan kecemasannya, sementara India dan UK menyusul dengan masing-masing mengumumkan pengeluaran sebanyak 5 juta tong dan 1.5 juta tong.
China, Korea Selatan dan Jepun juga dijangka akan menyusul rancangan tersebut selepas pengeluar utama minyak dunia OPEC dan sekutunya berulang kali menolak gesaan Washington untuk meningkatkan pengeluaran mereka.
Malangnya, tindakan tersebut gagal mendorong kejatuhan harga minyak, sebaliknya komoditi hitam itu kembali meningkat lebih tinggi memandangkan pengeluaran yang dikeluarkan oleh AS jauh lebih kecil dari jangkaan pasaran.
Pada sesi Asia, niaga hadapan minyak mentah Brent diniagakan meningkat di sekitar $82.50 setong, manakala WTI Amerika Syarikat pula menokok pada $78.77 setong.