“Kalau SEC tak sasar ADA, adakah harganya berpeluang untuk naik tinggi pada masa hadapan?”
Charles Hoskinson, pengasas mata wang kripto Cardano (ADA) sungguh percaya Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) Amerika Syarikat (AS) tidak akan mengenakan tindakan penguatkuasaan terhadap aset digital tersebut.
Umum mengetahui SEC telah mengklasifikasikan 12 token seperti Cardano (ADA), Binance Coin (BNB), Solana (SOL), Polygon (MATIC) dan Filecoin (FIL) sebagai sekuriti selepas Binance dan Coinbase dikenakan tindakan undang-undang.
Didedahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Coinbase Brian Armstrong, SEC tersebut telah meminta bursa kripto itu untuk menyahsenarai semua token kecuali Bitcoin (BTC) susulan ia layak ditakrifkan sebagai sekuriti.
Tuduhan sama turut dikenakan terhadap Ripple (XRP) yang telah menghadapi pertikaian undang-undang bersama SEC selama tiga tahun, tetapi firma pembayaran blockchain itu sungguh percaya XRP bukanlah sekuriti.
Bagaimanapun, tindakan keras berterusan SEC terhadap firma kripto adalah disebabkan politik dan sama sekali tiada kaitan dengan undang-undang sekuriti, ulas Hoskinson sambil menambah tindakan dilakukan pengawal selia AS itu mempunyai kaitan dengan Sam Bankman-Fried (SBF) iaitu bekas CEO FTX.
Hal ini kerana terdapat satu parti politik AS yang menerima banyak wang daripada SBF, oleh itu SEC didapati lebih berminat untuk mendakwa semua pemain pasaran kripto adalah tidak baik daripada mencipta peraturan aset digital yang lebih jelas.
Setakat penulisan ini, harga ADA mendaki sebanyak 3.74% pada paras $0.26 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran bernilai $9 bilion tetapi masih merekodkan penurunan 2.77% sepanjang minggu lepas.