Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan pendirian tegas negara dalam menghadapi percaturan geopolitik yang kompleks, khususnya konflik Rusia-Ukraine.
Dalam sebuah pertemuan tegang dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken di acara persidangan di Laos baru-baru ini, Anwar berani menolak nasihat untuk menjauhi Rusia, menyatakan, “itu masalah anda.”
Ini menegaskan Malaysia sebagai negara berdaulat dan bukan boneka dalam arena antarabangsa.
Kenyataan ini mencerminkan sikap Malaysia yang tidak mahu terjebak dalam permainan politik kuasa besar dan konflik yang tidak menguntungkan rakyat.
Anwar mencadangkan agar Malaysia terus menjalin hubungan yang konstruktif dengan semua kuasa besar, termasuk AS, China, dan Rusia.
Anwar juga menyentuh isu hipokrasi AS, yang ‘cakap tak serupa bikin’ kerana sering meminta pihak lain bertenang sementara sekutunya bertindak agresif di Timur Tengah.
Di bawah kepimpinan Anwar, Malaysia berusaha membina dasar luar yang mendahulukan kepentingan rakyat dan menolak tekanan luar.
Dengan pendekatan ini, Malaysia ingin menunjukkan kepada dunia bahawa negara kecil boleh bersuara dan bertindak tanpa rasa takut seterusnya menjadi simbol kebebasan dan autonomi, menghormati hak untuk membuat keputusan secara bebas.