Gabenor BOJ, Haruhiko Kuroda dijangka akan menekankan bahawa pengurangan ransangan bukanlah pilihan yang sesuai untuk bank pusat dengan paras inflasi semakin jauh daripada sasaran 2 peratus dalam mesyuarat penetapan kadar minggu hadapan.
Pandangan terhadap perubahan kadar ini menjadi tumpuan selepas kemenangan Shinzo Abe dalam pilihan raya akhir minggu lalu, yang meningkatkan lagi jangkaan penerusan dasar longgar BOJ yang menjadi tonggak dalam ransangan ekonomi ‘Abenomic’.
Hiroshi Ugai, ketua ekonomi Jepun daripada JPMorgan berkata, “Kemungkinan tinggi Kuroda akan dilantik semula sebagai gabenor BOJ, menunjukkan rangka kerja dasar BOJ tidak akan mengalami banyak perubahan”.
“Tindakan lanjut BOJ mungkin menaikkan sasaran hasil jangka masa panjang (long term yield), namun hal ini tidak akan berlaku sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun depan”, tambah beliau.
Dalam mesyuarat dua hari yang berakhir pada hari Selasa 31 Oktober depan, ramalan penganalisis adalah BOJ akan mengekalkan kadar faedah jangka masa pendek mereka di paras -0.1% dan hasil bon 10-tahun sekitar 0%.
Fokus pasaran kali ini tertumpu kepada tindakan Goushi Kataoka, pengundi baru polisi bank pusat yang mungkin akan mencadangkan peningkatan terhadap ransangan ekonomi.
Walaupun cadangan ini mungkin ditolak oleh pegawai lain yang melihat pengukuhan ekonomi tidak perlu dibantu melalui monetari, namun kenyataan beliau mungkin akan menimbulkan perdebatan baru dikalangan mereka, sekali gus memberi hala tuju baru terhadap dasar monetari BOJ di masa hadapan.