Harga minyak meneruskan peningkatan pada dagangan awal minggu disokong oleh keyakinan pasaran terhadap pemulihan permintaan bahan bakar global susulan berita mengenai vaksin coronavirus yang memberangsangkan.
Optimisme terhadap pemulihan dari wabak ini telah mendorong kenaikan harga minyak sejak beberapa minggu kebelakangan ini, sementara pasaran turut melihat perkembangan mengenai lonjakan kes dan langkah-langkah sekatan yang dikenakan di Eropah dan Amerika Syarikat.
Terbaru, Amerika Syarikat dijangka akan menerima vaksin Covid-19 sehari selepas Pentadbiran Makanan dan Dadah AS (FDA) meluluskannya pada pertengahan bulan Disember.
Pada pembukaan sesi Asia, penanda aras niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat 17 sen kepada $45.13 setong, manakala WTI Amerika Syarikat menguat pada $42.46 setong. Kedua-dua penanda aras telah meningkat 5% pada minggu lalu.
Selain itu, sentimen juga diperkuat oleh harapan bahawa OPEC dan sekutunya termasuk Rusia, yang juga dikenali sebagai OPEC+ akan terus mengekalkan komitmen pengurangan pengeluaran minyak mentah sebanyak 7.7 juta tong sehari pada awal tahun depan.
Walaubagaimanapun, dengan kekhuatiran yang masih ada terhadap peningkatan berterusan kes dan kematian Covid-19 di seluruh negara, menyebabkan peningkatan harga minyak agak terbatas.