Kanye West Bakal Bertanding Jawatan Presiden Amerika Syarikat?

296

Kanye West, penyanyi rap Amerika dikatakan akan turut bertanding dalam pemilihan presiden pada 2020, mencabar Donald Trump dan calon demokrat, Joe Biden pada November ini.

Beliau memberitahu perkara itu melalui ciapan di Twitter pada 5 Julai, mengumumkan penglibatannya yang turut meletakkan emoji bendera Amerika Syarikat (AS) berserta tanda pagar #2020VISION.

Walau bagaimanapun, pemilihan yang akan berlangsung empat bulan dari sekarang menuntut West untuk mendaftar dalam Federal Election Commission, membuat kempen dan mengumpulkan sokongan yang cukup untuk mendapat pencalonan November ini.

Dalam tempoh yang terhad itu, walaupun ciapannya menerima sokongan daripada individu berpengaruh seperti Kim Kardashian West dan Elon Musk, pegawai eksekutif Tesla, penyanyi itu secara langsung telah gagal untuk mendaftarkan diri berikutan telah terlepas dari tarikh akhir pendaftaran calon.

West sebelum ini sudah berkali-kali menyuarakan keinginannya untuk bertanding dalam pencalonan presiden namun berkemungkinan hanya sebagai gurauan. Kali pertama beliau menyatakan harapannya untuk bertanding pada 2020 dalam ucapan Video Vanguard Award dalam 2015 MTV Video Music Awards.

Tetapi, pada Januari 2019, beliau membetulkan ciapannya itu dengan rancangan untuk bertanding pada tahun 2024.

Beliau juga yang merupakan penyokong tegar Trump sebelum ini, telah menerima dan kehilangan peminatnya berikutan kekerapan ciapannya yang mendukung usaha Trump, serta memperagakan topi berlabel ‘Make America Great Again’ dan mengunjungi Oval Office.

Namun, sejak berlaku protes terhadap keganasan pegawai polis dan isu perkauman, West nampaknya berpaling daripada Trump dan telah menyumbang $2 juta kepada keluarga mendiang George Floyd, Ahmaud Arbery dan Breonna Taylor yang terbunuh dalam insiden melibatkan polis dan masyarakat.

 

Anda mungkin juga berminat