Kebimbangan Penularan Varian Delta Di Pasaran AS, Rencatkan Dagangan Bursa

207

Bursa Malaysia diperdagangkan rendah hari ini setelah prestasi pasaran saham AS merosot susulan kebimbangan mengenai pertumbuhan ekonomi akibat penularan virus Delta yang kian melonjak.

Setakat 9.55 pagi, indeks petunjuk aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merundum 1.20 mata kepada 1,582.28 daripada 1,583.48 semasa penutupan pasaran pada Selasa.

Lapor Bernama, indeks itu dibuka 1.76 mata lebih rendah kepada 1,581.72.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 228 berbanding 196, manakala 323 kaunter tidak berubah, 1,490 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 345.85 juta unit bernilai RM132.66 juta.

Menurut Malacca Securities, perdagangan di bursa tempatan dijangka akan berpaling arah di kala aktiviti profit taking di pasaran yang lebih menyeluruh.

Namun berikutan kebenaran pembukaan semula kebanyakan sektor di negeri yang akan beralih ke Fasa 2, ia berkemungkinan akan menyokong pasaran kembali rancak lalu bakal menarik pembelian asing.

Susulan itu, sektor pemulihan seperti perbankan, pengguna, perladangan dan bahan binaan dijangka akan terus memperoleh tumpuan para pelabur tempatan.

Tidak lupa juga dengan kaunter berkaitan keluli dan aluminium yang mungkin bakal mendominasi di kala harga aluminium yang masih lagi pamer kenaikan.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank dan IHH Healthcare masing-masing menambah satu sen kepada RM8.28 dan RM6.31 manakala Petronas Chemical meningkat lima sen kepada RM8.13.

Selain itu, TNB susut empat sen kepada RM10.30 dan Public Bank kekal pada RM4.10.

Bagi saham aktif, PUC Bhd menokok tiga sen kepada 19.5 sen, JAKS Resources naik satu sen kepada 52.5 sen dan Kanger International tidak berubah pada RM5.5 sen.

Di papan indeks, FBMT 100 meningkat 3.04 mata menjadi 11,283.24, FBM 70 naik 14.37 mata kepada 15,209.31 dan FBM ACE turun 21.56 mata kepada 7,338.74.

Indeks FBM Emas jatuh 2.54 mata kepada 11,597.82 dan FBM Emas Shariah menyusut 16.0 mata menjadi 12,695.89.

Mengikut sektor, indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 22.19 mata kepada 15,460.27, indeks Produk dan Perkhidmatan melonjak 0.53 mata kepada 201.81 dan indeks Perladangan naik 17.97 mata kepada 6,639.23.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat