Harga minyak susut ketara selepas menyaksikan peningkatan mendadak dalam bekalan minyak mentah Amerika Syarikat.
Menurut data yang dikeluarkan Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) AS, inventori minyak mentah melonjak sebanyak 4.5 juta tong pada minggu lalu, melebihi jangkaan untuk menurun sebanyak 1.4 juta tong.
Bacaan yang dicatatkan juga meningkat dengan ketara daripada angka yang dicatatkan minggu sebelumnya yang menurun sebanyak 4.5 juta tong.
Selain itu, dagangan minyak turut terkesan dengan keputusan OPEC+ yang melakukan peningkatan kecil dalam pengeluaran minyak mentah untuk bulan September sebanyak 100,000 tong sehari.
Pada sesi Asia, niaga hadapan minyak mentah WTI Amerika Syarikat didagangkan rendah pada $97 setong manakala dagangan minyak Brent pula suram pada $91 setong.
Terdahulu, dagangan Brent telah kehilangan sekitar 2.8% manakala WTI Amerika Syarikat pula susut 3.1% pada sesi sebelumnya.
Dalam pada itu, pengeluar utama OPEC, Arab Saudi memberi amaran bahawa kapasiti ganti adalah sangat terhad, menandakan mereka mungkin tidak dapat menampung pengeluaran yang hilang dari Rusia yang dikenakan sekatan oleh negara Barat.
Secara keseluruhan, pasaran minyak mentah kini lebih dipengaruhi oleh peningkatan dalam bekalan AS yang menunjukkan permintaan yang berkurang di ekonomi gergasi dunia itu.
Ini boleh memberi tekanan buat dagangan komoditi hitam itu untuk kekal rendah.