Kejutan Dalam Pasaran Belum Reda, Aset Safe-Haven Terus Mengukuh

278

Ketika kejutan dalam pasaran hari ini masih belum reda dengan kejatuhan harga minyak ke paras negatif, laporan mengenai keadaan kesihatan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un yang semakin merosot pula menambah risiko kepada sentimen.

Situasi ini telah memberi manfaat kepada matawang US dolar dan yen Jepun sebagai aset safe-haven untuk diniagakan meningkat berbanding matawang utama lain.

Turut menambah risiko dalam pasaran, Presiden AS Donald Trump hari ini mengumumkan bahawa beliau akan menandatangani perintah eksekutif untuk menghentikan sementara imigrasi ke Amerika Syarikat di tengah krisis pandemik coronavirus.

Hasil bon perbendaharaan AS kekal lemah, sementara peningkatan dalam dagangan emas pula dibataskan oleh pengukuhan USD, dengan masih diniagakan di sekitar bawah paras harga $1,700 per auns.

Penanda aras harga kontrak WTI Amerika Syarikat bagi bulan Jun melonjak 4% pada sesi Asia setelah mengalami penyusutan pada sesi sebelumnya, sementara niaga hadapan bagi Mei pula kembali mencatat peningkatan ke paras harga positif.

Bagaimanapun, dolar Kanada kekal didagangkan lemah di paras terendah dua minggu berbanding US dolar susulan kejatuhan harga minyak.

Di Asia, dolar Kiwi diniagakan menyusut berikutan kenyataan Gabenor Reserve Bank of New Zealand (RBNZ) Adrian Orr menyatakan kesediaan bank pusat untuk membiayai hutang kerajaan secara langsung.

Dolar Aussie pula terus menyusut berikutan Reserve Bank Australia (RBA) menjangkakan ekonomi Australia akan mengalami kejatuhan sehingga September, walaupun Gabenor Philip Lowe memberitahu kadar faedah akan dikekalkan untuk tempoh lebih lama.

Mengikuti perkembangan di Eropah, matawang pound juga diniagakan merosot berbanding USD susulan penerbitan data pekerjaan UK yang menunjukkan kadar pengangguran meningkat kepada 4.0% pada bulan Februari.

Sementara euro pula turut didagangkan menyusut berbanding US dolar, sebelum kembali meningkat berikutan laporan sentimen ekonomi Jerman tinjauan ZEW yang diterbitkan menunjukkan bacaan lebih baik daripada jangkaan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat