US Dolar merosot sedikit pada hari Selasa, menghampiri pilihan raya presiden yang dijangka sengit, dengan keputusan yang berpotensi mendorong pergerakan besar dalam pertukaran mata wang asing.
Terkini Indeks US Dolar, yang mengukur dolar AS berbanding enam mata wang utama yang lain, turun 0.13% kepada 103.655, selepas merosot semalaman ke paras terendah sejak 21 Oktober, berbanding paras tertinggi sejak akhir Julai minggu lalu.
US dolar terjejas, sebahagian besarnya disebabkan oleh “perdagangan Trump” yang berkurang, apabila tinjauan terbaru menunjukkan Donald Trump dan Kamala Harris akan bersaing dalam pilihan raya presiden yang sengit, dengan kebanyakan undian bermula awal hari Rabu waktu Malaysia.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pasaran kewangan cenderung kepada kemenangan Trump, yang dasar tarif dan imigrasinya dianggap inflasi oleh penganalisis, membawa kepada peningkatan hasil AS dan US dolar.
“Dengan pilihan raya AS yang dilihat sengit , serta kesan yang mungkin mendatangkan impak berganda pada pasaran mata wang, pasaran matawang kini didagangkan pada tahap volatiliti yang berpatutan,” kata penganalisis di ING dalam satu nota.
“Memandangkan pengukuhan US dolar pada bulan Oktober, kami berpendapat hanya kemenangan penuh Republik yang dapat menolak dolar lebih jauh. Kemenangan Harris mungkin menunjukkan hasil yang lebih dikhendaki dan negatif bagi dolar.”
Rizab Persekutuan AS juga akan bermesyuarat pada minggu ini, dan pasaran bersedia untuk pengurangan kadar lagi, kali ini sebanyak 25 mata asas berbanding pengurangan 50 mata asas yang besar pada September.
Pedagang akan meneliti petunjuk selanjutnya dari Pengerusi Fed, Jerome Powell, mengenai rancangan bank untuk terus mengurangkan kadar, terutamanya kerana data terbaru menunjukkan inflasi AS yang kekal dan ketahanan dalam ekonomi.
Namun, pasaran buruh juga menunjukkan tanda-tanda kemerosotan, yang mungkin membuatkan Fed lebih cenderung untuk melonggarkan lagi.
Di Eropah, Euro mengukuh sebanyak 0.2% kepada 1.0893 berbanding US dolar, selepas mendaki kepada paras 1.0914 pada sesi sebelumnya, kali pertama sejak 15 Oktober, dengan euro mendapat manfaat daripada kelemahan dolar.
Walaupun pengukuhan ini, euro perlu berhadapan dengan kelemahan ekonomi serantau, dengan pengeluaran industri Perancis menurun 0.9% pada bulan September, serta ketidakpastian politik yang mengelilingi pilihan raya AS.
“Untuk minggu ini, jangkaan adalah kesan daripada pilihan raya AS akan mendominasi,” tambah ING. “Pada akhirnya, kemenangan Trump tanpa Dewan Perwakilan boleh menjadi senario terburuk bagi EUR/USD menjelang akhir 2025, di mana pertumbuhan global tidak akan mendapat sokongan dari peengurangan cukai AS dan ECB mungkin terpaksa mengurangkan kadar ke paras lebih akomodatif.”
GBP/USD mengukuh 0.2% kepada 1.2980, dengan Bank of England dijangka meluluskan pengurangan kadar sebanyak 25 mata asas pada hari Khamis.
AUD/USD mengukuh 0.5% kepada 0.6618, selepas Bank Rizab Australia mengekalkan dasar tanpa perubahan pada hari Selasa, seperti yang dijangka secara meluas.
Gabenor RBA, Michele Bullock, bagaimanapun, mengambil pendirian yang lebih tegas dalam sidang media beliau, dengan mengatakan beliau masih percaya terdapat risiko peningkatan inflasi.
“Dolar Australia boleh menjadi pemenang besar sekiranya Harris berjaya mengalahkan Trump. Dalam senario sebegini, ancaman tarif terhadap China akan berkurang dengan ketara,” kata ING.