US dolar berjaya paparkan pengukuhannya semula pada dagangan di sesi-sesi terakhir minggu lalu setelah pasaran menempuh acara pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) 2024 dan turut menghadam keputusan mesyuarat FOMC terbaru.
Pada Khamis, US dolar sedikit melemah dan mengurangkan keuntungan yang diraih ketika acara pilihan raya, namun selepas Federal Reserve (Fed) mengumumkan pemotongan kadar faedah sebanyak 25 mata asas, US dolar mula mengukuh semula.
Pemotongan kadar faedah untuk November adalah lebih kecil berbanding 50 mata asas yang dilakukan pada mesyuarat September lalu.
Selain itu juga, data tinjauan keyakinan pengguna oleh Universiti Michigan pada sesi New York Jumaat lalu turut hadir dengan angka yang positif, menambahkan sokongan buat US dolar di penutup minggu.
Kini, pasaran akan memberi tumpuan pula kepada petunjuk seterusnya yang bakal hadir pada minggu ini iaitu data inflasi AS bagi bulan Oktober selain meneliti ucapan dari beberapa ahli Fed.
Ramalan adalah untuk inflasi tahunan AS kekal di paras 2.4% seperti sebelum ini.
Meneliti indikator buat US dolar, indeks dolar (DXY) menunjukkan peningkatan semula melepasi 105.00 mata selepas penurunan sebelumnya ke sekitar 104.200.
Sementara, hasil perbendaharaan 10-tahun AS (US10Y) masih belum menunjukkan peningkatan susulan penurunan ke sekitar 4.30% dari ketinggian 4.48% sebelumnya, berkemungkinan menghadkan pengukuhan lanjut US dolar di pembukaan awal minggu.
Pasaran juga masih ingin memerhati situasi pergerakan US dolar dalam tempoh terdekat ini selepas pengukuhan ketara yang dipamerkan ketika kemenangan Donald Trump pada acara pilihan raya.
Kebanyakan penganalisis cenderung meletakkan jangkaan positif buat US dolar apabila Trump kembali ke White House semula, namun masih awal untuk membuat sebarang jangkaan.