Kenyataan Dua Ahli BoE Ini Meningkatkan Jangkaan Terhadap Pengurangan Kadar Faedah!

341

Jangkaan terhadap pemotongan kadar faedah oleh Bank of England (BoE) semakin meningkat apabila dua lagi ahli Polisi Monetari atau MPC menunjukkan sokongan mereka terhadap pelonggaran dalam dasar monetari BoE.

Gabenor BoE, Mark Carney yang akan melepaskan jawatannya pada bulan Mac, mengejutkan pasaran minggu lepas apabila menyatakan pandangannya dari perkspektif pengurusan risiko bahawa terdapat kemungkinan untuk mengurangkan kadar faedah jika kelemahan ekonomi yang dilihat pada akhir tahun 2019 berterusan hingga 2020.

Rentetan daripada itu, penggubal dasar BoE Silvana Tenreyro turut menyatakan sokongannya terhadap pemotongan kadar jika tiada tanda-tanda peningkatan dalam pertumbuhan ekonomi UK sejak pilihan raya umum diadakan.

Tenreyro memberitahu jika ketidakpastian mengenai perjanjian dagangan masa depan dengan Kesatuan Eropah (EU) atau pertumbuhan global yang lemah terus menjejaskan permintaan di UK, maka beliau akan mengundi untuk mengurangkan kadar faedah.

Selain itu, seorang lagi penggubal dasar BoE, Gertjan Vlieghe berkata akan mengundi untuk pemotongan kadar faedah pada akhir bulan ini, jika indikator utama ekonomi gagal mempamerkan peningkatan, sepertimana yang dikatakan oleh Tenreyro.

Vlieghe menyatakan bahawa beliau perlu melihat peningkatan yang jelas dan signifikan dalam data ekonomi UK untuk membuatnya menunggu lebih lama lagi dengan dasar monetari semasa.

Kenyataan dua ahli MPC ini telah menguatkan lagi jangkaan terhadap pelonggaran dasar oleh BoE, susulan komen Gabenor Carney dan dua lagi ahli MPC yang telah mengundi untuk mengurangkan kadar faedah dalam mesyuarat pada Disember iaitu Jonathan Haskell dan Michael Saunders.

Ekonomi Britain kehilangan momentum selepas referendum Brexit 2016 dan menunjukkan kelembapan pada akhir 2019, meskipun terdapat tanda-tanda akan berlaku peningkatan sentimen selepas kemenangan besar PM UK Boris Johnson dalam pilihan raya pada Disember.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat