Ketidakpastian Terhadap Keputusan OPEC Dorong Penyusutan Harga Minyak

323

Dagangan minyak mentah kembali memaparkan penyusutan berikutan ketidakpastian mengenai keputusan pengeluar utama untuk melanjutkan pemotongan pengeluaran telah mencetuskan kebimbangan terhadap peningkatan bekalan minyak mentah.

Niaga hadapan minyak mentah Brent susut 1.2% dari paras ketinggian 3 bulan dengan didagangkan pada $39.31 setong, sementara WTI Amerika Syarikat menurun 1.8% kepada $36.62 setong.

Pada Selasa, Reuters melaporkan bahawa dua pengeluar minyak terbesar dunia, iaitu Arab Saudi dan Rusia telah bersetuju untuk menyokong cadangan untuk melanjutkan tempoh pemotongan sebanyak 9.7 juta tong sehari sehingga bulan Julai.

Walau bagaimanapun, masih tiada persetujuan di kalangan negara anggota sama ada mesyuarat untuk membincangkan perihal tersebut akan diadakan pada hari ini berikutan terdapat negara yang gagal mematuhi pemotongan yang telah ditetapkan sebelum ini dalam perjanjian sedia ada.

Rentetan daripada itu, OPEC+ mungkin akan kembali kepada perjanjian yang telah dipersetujui pada April lalu, iaitu mengurangkan pemotongan bekalan mereka menjadi 7.7 juta tong sehari bermula Julai sehingga Disember.

Tambahan daripada itu, Arab Saudi, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu pula tidak merancang untuk melanjutkan pengurangan pengeluaran yang dibuat secara sukarela sebanyak 1.8 juta tong sehari selepas bulan Jun.

Ini menunjukkan bekalan minyak mentah akan tetap meningkat pada bulan depan, tanpa mengira apa keputusan yang bakal diambil oleh OPEC+ kelak.

Sementara itu, harga minyak turut menerima tekanan susulan tindakan Amerika Syarikat yang melarang syarikat penerbangan China untuk membuat penerbangan ke negara itu telah mencetuskan kebimbangan terhadap kejatuhan permintaan minyak mentah.

Tindakan itu diambil susulan China yang terlebih dahulu melarang syarikat penerbangan Amerika untuk melakukan penerbangan ke China.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat