Kim Jong-Un Sedang Koma?

909

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un didakwa terlantar koma dan adik perempuannya, Kim Yo-jong dikatakan mengambil alih pemerintahan Pyongyang ketika ini.

Dakwaan terbabit dilontarkan oleh bekas pegawai kerajaan Korea Selatan, Chang Song-min kepada media Korea Selatan.

“Saya menilai beliau dalam koma, tetapi masih hidup. Struktur pengambilalihan kuasa masih belum dibentuk, jadi Yo-jong dilantik sebagai pemerintah buat sementara waktu,” kata Song-min.

Pada April dan Mei tahun ini, ‘kehilangan’ Jong-un di khalayak ramai mencetuskan perdebatan mengenai tahap kesihatannya.

Beliau tidak muncul di khalayak ramai selama tiga minggu sebelum hadir di sebuah kilang di bandar Sunchon.

Seperti dilaporkan oleh The Guardian baru-baru ini, Yo-jong diberikan tanggungjawab dalam menguruskan hal ehwal negara oleh Jong-un.

Sementara itu, CNN melaporkan Jabatan Perisikan Nasional (NIS) Korea Selatan memaklumkan Yo-jong kini merupakan pemerintah de-facto kedua yang berkuasa.

Peralihan kuasa itu menyaksikan para pegawai tertinggi di Pyongyang akan mendapat lebih banyak autonomi berbanding sebelum ini.

Dalam pada itu, agensi berita Korea Utara, KCNA melaporkan mesyuarat bersama pemimpin tertinggi negara itu sedang diaturkan meskipun wujud kebimbangan tentang impak Covid-19.

Yo-jong telah menunjukkan beliau bersedia mengambil alih tampuk pemerintahan terutamanya ketika lantang mencabar Amerika Syarikat (AS) pada bulan lalu.

Beliau mengeluarkan kenyataan bahawa pertemuan dengan AS dengan Korea Utara tidak perlu diteruskan kerana Trump enggan mengubah pendirian mereka terhadap program senjata nuklear Pyongyang.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat