King Teruk Kena ‘Belasah’, Apa Tumpuan Seterusnya Buat USD?

325

US dolar tenggelam lebih rendah berbanding pesaing utama ketika tumpuan pasaran kini terarah kepada terbitan data pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat untuk suku ketiga dan mesyuarat polisi Bank Pusat Eropah (ECB) pada hari ini (Khamis).

Menyusuri pergerakan US dolar, raja mata wang itu telah mempamerkan penurunan yang ketara sejak akhir dagangan minggu lalu seiring dengan kemerosotan hasil bon AS 10 tahun.

Penyusutan ini dikaitkan dengan jangkaan untuk kenaikan kadar faedah lebih perlahan oleh Federal Reserve (Fed) pada minggu depan, apatah lagi Bank of Canada (BOC) juga tanpa dijangka meningkatkan kadar hanya 50 mata asas berbanding ramalan untuk 75 mata asas.

BOC yang sebelum ini dilihat bersikap agresif, mula memperlahankan kadar kenaikannya pada mesyuarat polisi yang berlangsung pada sesi New York sebelum ini.

Meskipun begitu, dolar Kanada kekal didagangkan lebih tinggi berbanding dolar greenback yang terus melemah.

Beralih kepada perkembangan mata wang Eropah, pound terus mengekalkan momentum pengukuhannya walaupun terdapat ketidakpastian dalam jangkaan untuk penetapan dasar Bank of England (BOE) minggu depan.

Gabenor Andrew Bailey sebelum ini berkata BOE mungkin mempertimbangkan kenaikan lebih besar sesuai dengan belanjawan yang sepatutnya dikeluarkan kerajaan pada 31 Oktober.

Namun Menteri Kewangan Jeremy Hunt telah menangguhkan pengumuman belanjawan tersebut sehingga 17 November dan ini menyebabkan pelabur mengurangkan jangkaan untuk kenaikan lebih besar dari BOE.

Sementara itu, euro kekal didagangkan kukuh pada paras harga pariti $1 yang dicapainya buat pertama kali dalam tempoh 5 minggu menjelang mesyuarat ECB pada hari ini.

Dalam pada itu, pelabur turut menumpukan perhatian kepada terbitan data pertumbuhan ekonomi AS yang dijangka akan menunjukkan pengembangan 2.4% pada suku ketiga.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat