Krisis Minyak Venezuela Imbangi Dagangan Minyak Mentah Daripada Terus Jatuh

279

Harga minyak mentah diniagakan stabil pada dagangan sesi Asia di tengah-tengah kebimbangan terhadap risiko penurunan dalam permintaan minyak mentah akibat peningkatan berterusan kes jangkitan coronavirus di luar negara China.

Niaga hadapan minyak mentah Brent menyusut 25 sen kepada $54.01 setong manakala WTI Amerika Syarikat menurun sebanyak 16 sen kepada $49.74 setong.

Di luar China, angka korban yang dicatatkan di Iran telah mencecah 16 kematian dengan jumlah kes meningkat kepada 95, sementara kes jangkitan pula terus mencatat peningkatan di beberapa buah negara di Eropah dan Asia.

Ini menyebabkan lebih banyak syarikat-syarikat penerbangan dan kerajaan untuk mengehadkan perjalanan ke negara-negara yang diancam wabak coronavirus termasuk Korean Air, Vietnam Airlines, Japan Airlines serta Oman Air.

Bagaimanapun, amaran daripada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk mengenakan lebih banyak sekatan ke atas sektor minyak di Venezuela, telah mengimbangi dagangan minyak mentah daripada menyusut lebih banyak.

Minggu lalu, Washington telah mengenakan sekatan terhadap anak syarikat Rusia, Rostneft kerana peranannya sebagai perantara utama dalam urusan penjualan minyak Venezuela.

India dan China merupakan pembeli utama kepada minyak Venzeuela, di mana India sebelum ini dilaporkan mengimport kira-kira 342,000 tong sehari pada 2019.

Selain itu, pengurangan dalam pengeluaran dari Libya dan jangkaan pemotongan pengeluaran daripada OPEC juga membantu mengehadkan penurunan harga minyak mentah.

Di sisi lain, dagangan emas kembali mempamerkan sedikit kenaikan untuk diniagakan di sekitar paras harga $1,645, selepas menyusut ekoran pengambilan untung oleh pemain pasaran daripada peningkatannya pada minggu lepas.

Kebimbangan mengenai penularan coronavirus terus menjadi risiko kepada sentimen pasaran dan ditambah pula dengan jangkaan daripada pasaran terhadap pemotongan kadar faedah daripada Federal Reserve (Fed) pada tahun ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat