Langkah Disney Buat Saham Astro & TM Susut

1,257

Saham Astro Malaysia Holdings Bhd dan Telekom Malaysia Bhd (TM) susut pada sesi dagangan hari ini susulan laporan Disney akan menutup kebanyakan siaran televisyennya di Asia Tenggara serta Hong Kong sebagai sebahagian usaha syarikat itu untuk mengembangkan lagi perkhidmatan penstrimannya.

Ketika artikel ini ditulis, Astro susut 3 sen atau 2.8% kepada RM1.04 dengan kira-kira 1.12 juta saham didagangkan dengan permodalan pasaran syarikat itu bernilai RM5.58 bilion.

Sementara itu, TM menurun lima sen atau 0.86% kepada RM5.76 dengan kira-kira 429,000 saham diniagakan, menjadikan permodalan pasaran itu bernilai RM21.9 bilion.

Astro dan TM enggan mengulas lebih lanjut berhubung perkembangan terbaharu itu dan menyatakan mereka akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara terbabit.

Menurut laporan Channel News Asia, The Walt Disney Company memaklumkan akan menutup perniagaan miliknya iaitu Media Networks di Asia Tenggara dan Hong Kong bagi memberi tumpuan kepada perkhidmatan penstrimannya.

Berkenaan perkembangan terbaharu itu, penganalisis media daripada firma penyelidikan tempatan berpendapat situasi tersebut adalah perkembangan positif buat Astro kerana syarikat terbabit dapat menjimatkan kos kandungan susulan penutupan siaran televisyen Disney.

“Urusan penyiaran semasa adalah penyedia TV berbayar perlu membayar untuk saluran dan kandungan daripada pemiliknya.

“Astro boleh menggunakan dana daripada kos kandungan itu untuk melabur dalam kandungannya sendiri untuk perkhidmatan penstrimannya akan datang,” kata penganalisis tersebut.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis media menyatakan perkembangan terbaharu itu tidak akan memberi kesan kepada Astro kerana jumlah penonton untuk sebilangan kandungan Disney di Astro adalah rendah.

“Tidak ramai orang menyedari bahawa sesetengah kandungan Disney di Astro adalah tidak dinilai tinggi atau ditonton berbanding kandungan tempatan. Sebenarnya, kartun Melayu di Astro lebih dinilai tinggi dan ditonton daripada karya Disney. Ini berlaku kepara demografik penonton dan pilihan mereka.

“Tambahan pula, sesetengah kandungan Bahasa Inggeris begitu banyak dicetak rompak. Jadi akhirnya, jika kandungannya dicetak rompak, apa nilainya kepada Astro,” jelas penganalisis berkenaan.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat