“Fuhh banyak, macam-macam dah boleh beli dengan 8,000 BTC tu.”
Seorang penduduk Newport, James Howells yang secara tidak sengaja membuang hard disk mengandungi 8,000 Bitcoin (BTC) semasa menjalankan aktivit pembersihan telah memfailkan tuntutan mahkamah terhadap majlis perbandaran.
Hal ini kerana mereka enggan menerima permintaan Howells yang ingin menggali tapak pelupusan untuk mencari mata wang kripto beliau yang hilang susulan pihak berkuasa tempatan percaya usaha itu dapat membahayakan alam sekitar.
Rentetan itu, Howells yang meluahkan kekecewaannya telah menghantar surat terbuka kepada majlis perbandaran pada 4 September 2023 untuk membenarkan beliau memulakan proses penggalian menjelang 18 September 2023.
Pada tahun 2022, Howells mencadangkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk mencari aset digital beliau dalam masa tiga tahun melalui modal $11 juta, di mana belanjawan itu akan meliputi pelbagai perkara seperti jentera artificial intelligence (AI), anjing robot dan tenaga kerja manusia.
Bukan itu sahaja, pemilik BTC tersebut turut berjanji untuk memberikan 60% daripada BTC dipulihkan kepada orang yang membantunya dalam misi penggaliannya kemudian mengagihkan BTC bernilai $60 kepada setiap penduduk Newport sambil menyimpan 30% untuk dirinya sendiri.
Namun jika gagal, tuntutan mahkamah akan menuntut ganti rugi bernilai $557 juta iaitu sepadan dengan nilai BTC yang hilang oleh Howells, di mana beliau turut mengancam untuk memufliskan majlis perbandaran dengan tindakan undang-undang.
Pun begitu, pihak berkuasa Newport berkata bahawa mereka tidak akan memberi ulasan lanjut tentang isu itu kerana ia akan mengambil banyak masa pegawai yang ingin menyampaikan perkhidmatan untuk penduduknya.
Suka dimaklumkan simpanan Howells adalah bernilai lebih $550 juta pada November 2021 apabila harga BTC mencecah paras tertinggi sepanjang masa hampir $70,000 dan setakat ini, aset digitanya susut sedikit pada $205 juta.