Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memberi amaran keras kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang mungkin akan kehilangan sehingga RM5 bilion jika krisis kewangan Boustead Holdings Bhd tidak ditangani dengan kadar yang segera.
Krisis ini menjadi semakin getir apabila “Projek Moonshot”, yang dijangka memulihkan Boustead dengan mengurangkan hutang sebanyak RM3.4 bilion, tergendala selepas Kementerian Pertahanan (Mindef) menghentikannya.
Kini, nilai aset LTAT diramal merosot kepada RM10.5 bilion tanpa sebarang pelan baru.
Sebelum ini, Projek Moonshot dirancang untuk memfokuskan anak syarikat utama seperti Boustead Petroleum, Boustead Plantations, dan Pharmaniaga, selain menjadikan Boustead sebagai sebuah syarikat hartanah.
Namun, LTAT menambah beban dengan mengambil alih Boustead pada kos RM1.15 bilion dengan hutang tambahan sebanyak RM2 bilion.
PAC menggesa LTAT dan Mindef segera menyediakan pelan tindakan baharu sebelum hujung tahun ini untuk mengelakkan kerugian lebih besar berlaku kepada mereka.
Menurut laporan, rancangan baharu telah pun siap dirangka dan kini menunggu kelulusan kabinet.
PAC menegaskan bahawa masa depan pencarum LTAT kini bergantung sepenuhnya kepada tindakan kerajaan dan Mindef untuk menyelamatkan aset strategik yang sedang terancam.