Kebimbangan terhadap pendirian teguh Federal Reserve (Fed) untuk menurunkan inflasi kepada sasaran 2% terus memberi tekanan buat dagangan emas.
Ini susulan laporan inflasi Amerika Syarikat yang menunjukkan ia masih tinggi walaupun terus menurun dan data jualan runcit juga kuat.
Ia telah menguatkan pandangan bahawa Federal Reserve (Fed) akan terus melaksanakan kenaikan kadar faedah bagi memastikan inflasi benar-benar turun kepada sasaran.
Ekoran itu, logam kuning emas diseret lebih jauh ke paras terendah satu bulan pada $1,818 per auns pada Jumaat berikutan pandangan tersebut menyokong kekuatan US dolar dan hasil bon AS 10 tahun.
Pun begitu, emas membuat kenaikan semula menuju akhir dagangan minggu lalu ketika US dolar berundur dari paras ketinggiannya disebabkan aktiviti pengambilan untung.
Sesi Asia hari ini (Isnin) menyaksikan logam berharga itu sedikit meningkat sekitar harga $1,840 per auns ketika tumpuan pasaran kini beralih pula kepada laporan minit mesyuarat FOMC dan data keluaran dalam negara kasar (KDNK) AS pada minggu ini.