London Bridge Fallen Down! Ratu Elizabeth Meninggal Dunia Pada Usia 96

247

‘Antara pemerintah paling lama dan tertua di dunia telah meninggal dunia.’

Pada awal pagi Jumaat waktu tempatan, Ratu Elizabeth II telah meninggal dunia dan secara tidak langsung menamatkan era pemerintahannya selama 70 tahun di England.

Berita kematian beliau diumumkan dalam kenyataan rasmi Buckingham Palace yang mengatakan Ratu Elizabeth meninggal dengan tenang dalam rumahnya di Scotland pada usia 96 tahun.

Lanjut daripada kenyataan tersebut, kesihatan ratu dikatakan telah merosot pada Khamis dan doktor yang digegaskan ke Istana Balmoral di Scotland sendiri mengesahkan kematian beliau.

Menggantikan takhta Ratu, yang paling disanjungi warga England, adalah Raja Charles III yang diangkat secara automatik untuk mengetuai United Kingdom (UK) dan 14 negara naungan termasuk Australia, Kanada dan New Zealand.

Menurut Raja yang berusia 73 tahun itu, beliau mewakili semua ahli keluarganya menzahirkan rasa sedih atas kehilangan ibu tercinta dan Ratu yang disayangi.

Turut menzahirkan kesedihan adalah Perdana Menteri UK, Liz Truss yang baru sahaja mendapat perkenan Ratu untuk menubuhkan Kabinet pada awal minggu ini.

Selain itu, Menteri Ekonomi Gordon Lyons dalam satu kenyataan menyampaikan rasa sedih dan simpatinya terhadap ahli keluarga Ratu.

Dalam pada itu, Bank of England (BOE) juga dilihat menzahirkan rasa simpati ke atas kehilangan Ratu itu selain mengatakan mata wang Pound yang dicetak dengan wajah Elizabeth II akan kekal sebagai tender sah.

Kenyataan dari BOE menjelaskan bahawa not mata wang yang dihiasi dengan wajah Ratu Elizabeth akan terus digunakan sehingga terdapat pengumuman baharu kelak.

Catatan Ringkas Hidup Ratu Elizabeth

Dilahirkan pada 21 April 1926 dan menaiki takhta pada 2 Jun 1953 pada usia 27 tahun.

Beliau telah dikurniakan 4 orang anak iaitu Putera Charles (1948), Puteri Anne (1950), Putera Andrew (1960) dan Putera Edward (1964) hasil perkahwinan dengan Putera Philip pada tahun 1947.

Kematian beliau akan diratapi seluruh warga England dan dirasai oleh negara-negara Komanwel termasuk Malaysia.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat