Makin Ngeri! Inflasi UK Cecah 7% Pada Bulan Mac

4,648

Bahang daripada inflasi UK terus dirasai selepas bacaan data terbaharu yang diterbitkan menunjukkan harga pengguna terus melonjak lebih tinggi pada bulan Mac.

Menurut laporan Pejabat Perangkaan Negara (ONS), indeks harga pengguna (CPI) tahunan UK meningkat kepada 7.0% daripada 6.2% yang dicatatkan pada Februari. Ini merupakan angka tertinggi yang pernah direkodkan sejak Mac 1992, iaitu pada 7.1%.

Angka yang dicatatkan juga jauh melebihi jangkaan pasaran untuk meningkat hanya 6.7%, dengan lonjakan harga tenaga terus menjadi penyumbang terbesar kepada peningkatan ini.

Sementara inflasi teras (tidak termasuk harga makanan dan tenaga) pula meningkat kepada 5.7% tahun ke tahun daripada 5.2% pada sebelumnya.

Inflasi UK telah menyaksikan lonjakan luar biasa dalam tempoh enam bulan kebelakangan ini yang sejajar dengan peningkatan di kebanyakan ekonomi maju lain berikutan lonjakan harga tenaga dan isu rantaian bekalan global berterusan.

Mulai 1 April, pengawal selia tenaga Britain meningkatkan had harga tenaga isi rumah sebanyak 54% berikutan lonjakan harga tenaga dan ini dilihat akan mendorong inflasi meningkat lebih jauh pada bulan-bulan akan datang.

Keputusan kini terletak kepada kerajaan UK dan Bank Pusat England (BOE) tentang bagaimana mereka akan bertindak untuk mengawal situasi ini daripada bertambah buruk.

Mata wang pound susut lebih rendah susulan penerbitan ini kerana terkesan dengan pengukuhan US dolar dan jangkaan bahawa BOE akan mengurangkan pengetatan walaupun kadar inflasi terus meningkat.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat