Apple sedang mendahului ranking dalam perlumbaan syarikat gergasi trilion dolar!
Apple Inc menghampiri paras untuk mencapai permodalan pasaran US$3 trilion yang akan menjadikan syarikat gergasi iPhone tersebut sebesar ekonomi kelima terbesar dunia selepas Jerman dalam masa setahun sahaja selepas mencecah paras US$2 trilion.
Saham Apple naik 1.6% pada US$174 dan ia perlu didagangkan pada US$182.85 untuk mencapai sasaran dan mengekalkan trend pengukuhan tersebut yang dikuasai oleh pelabur yang telah mempertaruhkan jenamanya dan melihatnya sebagai aliran yang selamat.
Sahamnya melonjak kira-kira 30% tahun ini yang ditambah dengan kenaikan 80% pada 2020 dan sebagai perbandingan S&P 500 hanya meningkat 25% dalam tempoh tersebut.
Syarikat gergasi trilion dolar lain seperti Microsoft, Amazon, Alphabet dan Tesla hanya memperoleh antara 10% ke 70% sahaja.
Mengikut rekod, Apple telah mencecah paras US$1 trilion bagi permodalan pasarannya pada 2016 dan mengambil masa 2 tahun untuk menggandakan nilai tersebut.
Saham Apple buat masa ini telah melepasi sasaran harga median Wall Street sebanyak US$4 dengan majoriti penganalisis memberikan penarafan saham ‘beli’ atau lebih dari itu.
Terdahulu, Apple pernah kehilangan takhtanya sebagai syarikat paling berharga kepada Microsoft Corp awal tahun ini selepas ketua pegawai eksekutif Tim Cook menyatakan masalah rantaian bekalan dan usahanya untuk mendapatkan semikonduktor serta komponen bagi membuat telefon pintar dan komputer riba.
Dalam pada itu, Microsoft kekurangan lebih kurang US$500 bilion untuk mencapai permodalan pasaran AS$3 trilion.