“Hmm pelabur hari ni nak BTC naik ke turun? Tapi jangan sedihlah kalau harga bergerak mendatar je.”
Selepas beberapa ketika mengujinya, harga ibu segala mata wang kripto Bitcoin (BTC) menjunam semula di bawah paras $30,000 apabila para pedagang pada masa ini sedang menanti terbitan data Indeks Harga Pengguna (CPI) Amerika Syarikat (AS) pada sesi New York malam ini.
Menerusi pemerhatian, rizab pertukaran BTC telah meningkat hampir 1,500 BTC manakala simpanan stoknya telah menyebabkan pelabur bertindak balas pantas sebelum tibanya data CPI yang akan menggerakkan pasaran kripto.
Namun perlu diketahui harga BTC berkemungkinan turut menyaksikan penurunan susulan daripada ramalan kadar faedah baru-baru ini yang dibuat oleh Presiden Federal Reserve (Fed) Philadelphia, Patrick Harker.
Ahli pengundi Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) berpandangan bank pusat AS sekarang berada pada tahap untuk mengekalkan kenaikan kadar faedah stabil tetapi dalam masa sama melaksanakan tindakan dasar monetari yang ingin dilakukan mereka.
Umum mengetahui bahawa terdapat tiga tarikh keputusan FOMC yang tinggal sebelum akhir tahun ini habis.
Selain menjangkakan bacaan CPI AS hari ini bakal lebih rendah daripada konsensus, penganalisis Goldman Sachs juga berpendapat akan terdapat penurunan dalam inflasi terasnya sebelum tahun 2023 menuju pengakhirannya.
Sementara James Butterfill iaitu ketua penyelidikan CoinShares pula sungguh percaya data CPI tersebut nanti tidak akan menjamin kenaikan kadar faedah selanjutnya pada bulan Disember 2023.
Sehingga berita ini ditulis, harga BTC tergelincir sebanyak 0.83% pada paras $29,588 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran $575 bilion tetapi tetap mencatatkan lonjakan 1.37% sepanjang minggu lepas.