Minit FOMC – Fed Bimbang Kadar Faedah Rendah Akan Jejaskan Ketidakseimbangan Sektor Kewangan

366

Penerbitan minit mesyuarat FOMC pada hujung minggu memperlihatkan Federal Reserve Amerika Syarikat (Fed) telah bersepakat untuk menetapkan kadar faedah tidak berubah dan mengekalkannya buat sementara waktu.

Bagaimanapun, terdapat kebimbangan di kalangan ahli Fed terhadap kadar yang rendah untuk tempoh yang lama boleh memburukkan lagi ketidakseimbangan dalam sektor kewangan.

Berdasarkan minit mesyuarat tersebut, penggubal dasar Fed dilihat telah berbincang mengenai bagaimana mengekalkan dasar monetari semasa boleh membantu untuk menstabilkan ekonomi daripada perkembangan global yang telah menjejaskan aktiviti ekonomi dan membawa inflasi ke sasaran 2%.

Ahli Fed menganggap pendirian dasar monetari adalah bersesuaian dengan situasi semasa, tetapi ketidakpastian berterusan mengenai perdagangan AS-China, kemungkinan no-deal Brexit dan kelemahan dalam pertumbuhan ekonomi global, terus menimbulkan risiko kepada prospek ekonomi AS.

Kebanyakan ahli Fed sebelum ini melihat risiko terhadap prospek ekonomi adalah cenderung kepada penurunan, bagaimanapun ia kini dilihat semakin berkurangan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Sementara itu, ia juga turut menunjukkan para penggubal dasar sedang bersedia untuk membincangkan mengenai perubahan cara bank pusat menguruskan kecairan dalam pasaran kewangan termasuk kemudahan pembelian semula (repurchase/repo) pada mesyuarat akan datang.

Selain daripada isu perang dagang dengan China, Fed juga akan meneliti risiko tambahan daripada isu geopolitik termasuk protes di Hong Kong, Brexit dan ketegangan di Timur Tengah.

Charles Evans, Presiden Fed Chicago menyatakan keyakinan beliau terhadap ekonomi AS adalah berdaya tahan untuk menghadapi situasi membabitkan ketegangan AS dan Iran yang kini telah menjadi kebimbangan buat pasaran. Ahli Fed juga dikatakan akan terus memantau perkembangan dalam ketegangan antara Iran dan Amerika Syarikat.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat