Minyak Mentah Brent Susut Lebih 20%, Bakal Menyusut Lebih Rendah Lagi?

256

Harga minyak terus memanjangkan penurunannya pada dagangan hari ini, dengan minyak mentah Brent pula jatuh ke paras terendah sejak 1999 selepas menyaksikan penurunan dalam harga WTI Amerika Syarikat.

Minyak mentah Brent susut sebanyak 24% sehingga mencecah paras terendah sejak Jun 1999 pada $15.98 setong, sementara WTI Amerika Syarikat didagangkan rendah pada $11.30 setong.

Dagangan komoditi hitam terus menerima tekanan berikutan kejatuhan permintaan global telah menyebabkan bekalan berlebihan dalam pasaran sekali gus mengakibatkan pengeluar berdepan masalah ketiadaan tempat penyimpanan bekalan.

Di Amerika Syarikat, keadaan dilihat bertambah buruk, dengan kemudahan penyimpanan di pusat penghantaran utama negara di Cushing, Oklahoma dijangka akan penuh dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Hal ini telah menyebabkan niaga hadapan minyak AS mencatatkan penurunan harian terbesar sehingga ke paras negatif pada dagangan hari Isnin.

Berikutan daripada itu, Presiden Donald Trump turut mempertimbangkan untuk menyekat kemasukan import minyak mentah dari Arab Saudi untuk meredakan tekanan yang dihadapi oleh pengeluar minyak syal AS.

Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya, OPEC+ dilaporkan telah mengadakan perbincangan mengenai permasalahan ini. Malangnya, tiada kesepakatan atau tindakan polisi baru yang dibuat untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Dalam pada itu, Menteri Tenaga Iran, Bijan Namdar Zangeneh telah menggesa supaya OPEC+ mengambil tindakan yang sepatutnya untuk kembali mengangkat kestabilan harga minyak mentah.

 

 

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat