Momentum NFP Diteruskan, USD Pacak Ke Paras Tertinggi 11 Minggu!

234

Pergerakan pasaran pada pembukaan awal minggu ini dilihat masih menunggang trend minggu lalu menyaksikan US dolar mengekalkan pengukuhannya selepas laporan pekerjaan NFP Amerika Syarikat (AS) diterbitkan kukuh.

Sektor buruh yang menunjukkan ekonomi AS masih berdaya tahan itu semakin mengurangkan jangkaan terhadap langkah pemotongan kadar faedah untuk dilaksanakan oleh Federal Reserve (Fed) dalam tempoh terdekat ini.

Justeru, situasi ini dilihat akan terus menyokong momentum pengukuhan US dolar pada minggu ini sebelum kenyataan oleh beberapa ahli FOMC akan diperhatikan pada penghujung minggu.

Terus membenam kebanyakan mata wang utama yang lain, US dolar telah melonjak ke paras tertinggi 11 minggu atau hampir 3 bulan.

Di sesi New York semalam juga turut diterbitkan data PMI perkhidmatan AS tinjauan ISM yang mencatatkan angka lebih baik daripada ramalan untuk meningkat bagi bulan Januari.

Indeks dolar (DXY) pamerkan kenaikan hingga mencapai ketinggian 104.600 mata, paras tertinggi sejak pertengahan November tahun lalu.

Manakala, hasil perbendaharaan 10-tahun AS (treasury yield) kembali meningkat semula dari paras 3.82% kepada 4.17%.

Tumpuan pasaran pada hari ini akan terarah kepada keputusan mesyuarat polisi bank pusat Australia (RBA) pada sesi Asia.

Bagi mesyuarat pertama tahun 2024 ini, kadar faedah masih dijangka akan dikekalkan di paras 4.35% namun kenyataan susulan oleh bank pusat akan menjadi petunjuk penting terhadap penetapan dasar monetari selanjutnya selepas data inflasi Australia diterbitkan minggu lepas menunjukkan bacaan lemah.

Pelabur Aussie berkemungkinan perlu bersedia untuk tekanan lebih besar selain sedang dihimpit oleh pengukuhan US dolar ketika ini.

Pasaran komoditi di awal minggu juga suram dengan harga minyak mentah didagangkan lemah selepas kejatuhan ketara minggu lalu, namun menunjukkan sedikit pemulihan bagi kedua-dua penanda aras WTI dan Brent.

Sementara, dagangan emas suram menyaksikan kejatuhan harga di bawah paras $2,030 diteruskan hingga mencecah $2,015 sebelum pulih sedikit pada pagi ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat