“Mesti pelabur XRP nervous kan, tapi korang kena bersedia je untuk apa-apa situasi tau.”
Ripple (XRP) menghadapi kemerosotan apabila Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) Amerika Syarikat (AS) memfailkan rayuan interlokutori ditambah pula pasaran mata wang kripto baru-baru ini melihat penerjunan ketara.
Rentetan itu, XRP perlu bertindak balas pada 1 September 2023 dan SEC pula pada 8 September, jadi di sini dapat dilihat bahawa jangka masa tersebut adalah sangat penting untuk menentukan kedudukan undang-undang XRP serta kesan seterusnya yang akan dihadapi aset digital berikut.
Bagaimanapun dalam pemfailan mahkamahnya, SEC menegaskan bahawa matlamat hujahnya tidak semestinya adalah disebabkan XRP diklasifikasikan sebagai sekuriti.
Hal ini kerana pemfailan tersebut mendedahkan SEC tidak berhasrat untuk meneruskan semakan rayuan terhadap sebarang penentuan mengenai sifat aset digital yang pada asasnya adalah kod komputer tidak mempunyai nilai sedia ada.
Susulan daripada langkah SEC berikut, kebimbangan tentang harga XRP mungkin akan turun sehingga $0.50 ataupun lebih bawah lagi untuk sesi dagangan kedua berturut-turut telah tercetus di kalangan pelabur.
Sungguhpun XRP pulih 3.60% pada hari Ahad sejurus selepas naik sebanyak 2.71% pada hari Sabtu lepas, harganya masih sedang bergelut dengan penurunan lebih 16% sepanjang minggu lalu.
Setakat penulisan ini, harga XRP menjunam sebanyak 2.52% pada paras $0.52 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran bernilai $27 bilion seterusnya merekodkan penyusutan 17.29% sepanjang minggu lepas.