New Zealand Berdepan Kesan Ekonomi Terburuk Sejak Sedekad Lalu

257

Ini kali pertama New Zealand memasuki fasa kemelesetan sejak 2010 berikutan wabak pandemik Covid-19 yang mana turut mendorong kepada penguncupan suku tahunan terbesar dalam tempoh 29 tahun.

Statistik New Zealand pada Khamis mencatatkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara itu susut 1.6% pada suku pertama tahun 2020. Penyusutan itu merupakan rekod tertinggi sejak 1991 dan melebihi 1% daripada jangkaan pakar ekonomi. Dibandingkan dengan tahun sebelumnya, ekonomi menyusut 0.2% yang merupakan penguncupan tahunan pertama sejak 2009.

Berikutan laporan KDNK, matawang dolar New Zealand mencatatkan penurunan berbanding US dolar sehingga ke paras sekitar 0.64200 pada carta harga NZD/USD di sesi Asia.

Kesan pandemik di negara itu bermula pada awal Februari selepas larangan kemasukan dari China dengan menyebabkan kesukaran pengeksport untuk mendapatkan bekalan sehinggalah pada 25 Mac, secara rasmi negara itu memulakan perintah berkurung – penutupan keseluruhan premis perniagaan, tapak pembinaan dan kilang.

Susulan daripada itu, pakar ekonomi bank menjangkakan ekonomi akan susut sekurang-kurangnya 19% pada suku kedua, mengesahkan kemelesetan pertama negara itu sejak separuh kedua 2010.

Namun, ada yang berpendapat kemelesetan yang dijangka tidaklah begitu teruk memandangkan New Zealand berjaya menangani virus tersebut dan mula beroperasi awal dari jangkaan, menyakinkan pengguna untuk berbelanja.

Negara itu sedang menerima penguncupan terburuk dalam tiga bulan setelah mengenakan perintah berkurung sehingga pertengahan Mei. Dilaporkan sektor pengeluaran susut 2.4%, eksport susut 2.1% didorong oleh penurunan pembelanjaan pelancong, import menurun 5.6% berikutan sekatan perjalanan keluar kepada rakyat dan pertumbuhan KDNK turun 2.2% berbanding daripada suku keempat.

Usaha meringankan kesan ekonomi bermula dengan pihak kerajaan memohon bantuan fiskal berjumlah NZ$62 bilion untuk mengekalkan permintaan domestik dan melindungi peluang pekerjaan. Manakala bank utama telah mengurangkan kadar faedah dan memulakan program pelonggaran kuantitatif bagi mengurangkan kos pinjaman.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat