Menutup dagangan di penghujung minggu lepas dengan cemerlang, US dolar berjaya mencatatkan prestasi dagangan mingguan terbaik sejak tahun 2022.
Sesi New York pada Jumaat lalu, tumpuan sepenuhnya pasaran adalah terhadap laporan data pekerjaan NFP Amerika Syarikat (AS) untuk bulan September yang hadir dengan angka kukuh.
Meneliti laporan, pertambahan pekerjaan di AS melonjak sebanyak 254,000 jauh mengatasi ramalan yang rendah pada 147,000. Angka itu juga lebih tinggi berbanding pertambahan pada Ogos yang dikemaskini kepada 159,000.
Purata pendapatan per jam meningkat 0.4% mengatasi ramalan 0.3%, sementara kadar pengangguran pula positif apabila catatkan penurunan kepada 4.1% berbanding ramalan untuk kekal di paras 4.2% sebelum ini.
Lantaran itu, US dolar mendapat suntikan tambahan ketika suasana pasaran sepanjang minggu lalu berisiko berikutan isu perang Iran-Israel yang memberi kelebihan kepada mata wang safe-haven tersebut.
Laporan pekerjaan terbaru itu juga telah mengurangkan jangkaan terhadap langkah pemotongan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed) untuk diteruskan pada baki 2 lagi mesyuarat di penghujung 2024.
Pada September lalu, Fed telah bertindak agresif dengan menurunkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas, namun Pengerusi Fed Jerome Powell tetap dengan nada berwaspadanya mengatakan keputusan akan dibuat dari satu mesyuarat ke satu mesyuarat dan akan berdasarkan kepada data terbaru yang hadir.
Dengan laporan NFP September yang kukuh ini, Powell berkemungkinan boleh menarik balik pandangan beliau sebelum ini yang melihat bakal ada 2 lagi pemotongan kadar faedah untuk November dan Disember.
Selepas melonjak ke paras tertinggi 7 minggu, US dolar berkemungkinan akan mengekalkan momentum positif tersebut pada minggu ini dengan tumpuan seterusnya terarah kepada data inflasi AS yang menjadi petunjuk utama Fed.