“Haduii apa nak jadi, apa salah kripto ni?”
Tanpa membuang masa, bursa mata wang kripto Bitstamp mengumumkan keputusannya menggantung dagangan beberapa altcoin untuk para penggunanya berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yang bakal berkuat kuasa pada 29 Ogos 2023.
Susulan penggantungan tersebut, antara aset digital yang akan terjejas adalah Axie Infinity (AXS), Chiliz (CHZ), Decentraland (MANA), Polygon (MATIC), NEAR Protocol (NEAR), The Sandbox (SAND) dan Solana (SOL).
Walaupun Bitstamp tidak menyatakan sebab di sebalik keputusan itu, bursa kripto tersebut mungkin bertindak sedemikian setelah Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) mengklasifikasikan kesemua tujuh token berikut sebagai sekuriti tidak berdaftar.
Menurut Bitstamp, bursa kriptonya mempunyai rangka kerja komprehensif yang dapat menilai aset digital mereka secara berterusan, oleh itu pasukannya telah buat beberapa perubahan pada tawaran kripto untuk pelanggannya yang tinggal di AS susulan daripada perkembangan terkini itu.
Memang tidak dinafikan aktiviti perdagangan untuk ketujuh-tujuh kripto tersebut akan dihentikan, tetapi pengguna masih boleh menyimpannya dalam akaun mereka dan mengeluarkannya pada bila-bila masa.
Umum mengetahui Binance termasuk Coinbase sejak kebelakangan ini menghadapi pelbagai cabaran undang-undang apabila SEC mendakwa mereka atas kesalahan beroperasi sebagai bursa kripto secara tidak berdaftar selama bertahun-tahun.
Namun, Coinbase memfailkan usul untuk menolak tuntutan SEC pada 28 Jun 2023 dengan alasan bahawa agensi itu tidak mempunyai kuasa berkanun ke atasnya.
Wakil Coinbase yang mengadakan perbincangan bersama SEC pada bulan lalu telah mendedahkan bahawa penggubalan peraturan telus dan adil termasuk tindakan Kongres dapat beri peluang kepada pengguna serta syarikat membina ekonomi aset digital di AS.