Parah! USD Terjun Lagi

1,605

US dolar kecundang lebih parah pada pembukaan sesi Eropah selepas dihentam oleh data inflasi Amerika Syarikat yang semakin mereda pada bulan Mac.

Harga pengguna AS tanpa dijangka menurun kepada 5% pada bulan lepas, satu penurunan yang ketara daripada 6% yang dicatatkan pada Januari.

Ini menyebabkan pasaran menguatkan jangkaan bahawa Federal Reserve (Fed) akan menaikkan kadar sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat bulan depan sebelum menghentikan kenaikan.

Namun, penganalisis juga tidak menolak kemungkinan bahawa bank pusat itu akan menghentikan kenaikan pada mesyuarat polisi Mei.

Tumpuan pelabur seterusnya kini terarah kepada penerbitan data inflasi pengeluar (PPI) AS dan tuntutan pengangguran pada sesi New York.

Pada awal sesi Eropah, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback didagangkan merosot pada sekitar harga 101.30.

Susulan penyusutan greenback, mata wang euro mendaki lebih tinggi ke paras ketinggian baharu 2 bulan berbanding US dolar.

Mata wang pound juga melonjak ke puncak tertinggi 10 bulan berbanding US dolar, sekali gus mengetepikan data keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang menyuramkan pada bulan Februari.

Sementara itu, dolar Aussie dan New Zealand juga mencatatkan peningkatan di sebalik kelemahan US dolar, di samping dolar Aussie turut memanfaatkan bacaan data pekerjaan Australia yang lebih kukuh daripada dijangkakan.

Dolar Kanada pula terus didagangkan menguat dengan sokongan daripada pengukuhan berterusan dalam dagangan minyak mentah.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat