Risiko dalam pasaran memuncak ketika ini mendorong para pelabur untuk berhati-hati dan berkemungkinan perlu mengurangkan posisi dagangan semasa.
Tumpuan utama kini sedang terarah kepada acara pilihan raya presiden yang berlangsung di Amerika Syarikat (AS) untuk menentukan pemimpin baharu negara itu di antara calon Republikan Donald Trump dan calon Demokratik Kamala Harris.
Rakyat Amerika berpusu-pusu untuk keluar mengundi apabila lokasi-lokasi mengundi mula dibuka seawal jam 7 pagi (8 malam waktu Malaysia).
Sepanjang hari ini (Rabu), pasaran akan mengikuti kemas kini keputusan kiraan undian yang dijangka akan mengundang pelbagai reaksi selain memberi kesan terhadap pergerakan pasaran yang tak menentu.
Setakat jam 9 pagi waktu tempatan, beberapa kawasan telah diketahui keputusan undian di mana Indiana, Kentucky, Alabama, Florida dan West Virginia memihak kepada Donald Trump.
Sementara, Kamala Harris menguasai Maryland, Vermont, Connecticut dan Massachusetts.
Impak terhadap pasaran mata wang, US dolar pada dagangan sesi New York semalam menyaksikannya bergerak lemah sehingga ke penutup sesi tersebut.
Namun, selepas sesi undian berakhir pada sesi Asia pagi ini, US dolar dilihat pamerkan lonjakan nilai yang kukuh.
Situasi perubahan arah harga yang tak menentu dengan pergerakan volatile ini dijangka berterusan dengan spekulasi terus berlegar dalam pasaran.
Data PMI perkhidmatan AS tinjauan ISM yang diterbitkan semalam catat angka yang kukuh bagi Oktober iaitu 56.0 mata mengatasi bacaan sebelumnya, namun gagal memberi kesan terhadap pergerakan US dolar.
Mesyuarat FOMC akan menjadi tumpuan pada awal pagi Jumaat nanti untuk keputusan dasar monetari yang terbaru oleh Federal Reserve.