Menutup dagangan pada penghujung minggu lepas, pasaran agak bercelaru ketika tumpuan telah terarah kepada laporan data pekerjaan NFP Amerika Syarikat (AS) yang diterbitkan.
Ini adalah berikutan laporan terbaru itu hadir dengan angka yang mengejutkan dengan pertambahan pekerjaan pada bulan Oktober hanya sebanyak 12,000 sahaja.
Angka tersebut jauh lebih rendah berbanding ramalan 106,000 dengan perbezaan yang ketara pada bulan September yang dikemaskini sedikit menurun kepada 223,000.
Biro Statistik Buruh (BLS) yang mengeluarkan laporan tersebut menjelaskan bahawa angka pertambahan pekerjaan yang terbaru itu tidak diukur dengan tepat disebabkan faktor gangguan bencana taufan yang melanda sebahagian kawasan di Amerika.
Namun, komponen yang lain dikatakan tidak terkesan dengan bacaan kadar pengangguran pada Oktober tepati ramalan kekal di paras 4.1% sementara purata pendapatan per jam meningkat kepada 0.4% mengatasi jangkaan 0.3%.
US dolar dilihat paparkan reaksi bercampur selepas laporan diterbitkan, menyaksikannya melemah seketika pada awal sesi New York sebelum kembali pulih semula untuk mengukuh menuju dagangan penutup sesi tersebut.
Namun, risiko terhadap dagangan US dolar tidak terhenti di situ berikutan gelora besar bakal melanda pasaran pada minggu ini.
Ketidaktentuan semakin memuncak menghampiri acara pilihan raya presiden AS yang akan berlangsung pada malam esok (Selasa).
Undian akan menentukan keputusan jawatan Presiden untuk penggal yang baru di antara calon Republikan, Donald Trump dan Kamala Harris dari Demokratik.
Turut juga akan menggegarkan pasaran, keputusan mesyuarat FOMC untuk edisi November bakal menjadi perhatian di penghujung minggu.
Di samping itu, minggu ini juga akan berlangsung mesyuarat polisi bank pusat Australia (RBA) dan juga bank pusat England (BOE) untuk pengumuman kadar faedah terbaru masing-masing.