“Pasaran kripto sangat volatile, jadi korang kenalah berhati-hati juga ye.”
Harga raja mata wang kripto Bitcoin (BTC) semalam berjaya menembusi $35,000 setelah sekian lama berlegar-legar di bawah $30,000, tetapi aset digital itu yang pada masa ini turun sedikit telah didagangkan pada $33,838.
Zon rintangan seterusnya untuk BTC adalah pada $36,294 dan sekiranya spot BTC ETF diluluskan secara rasmi, harganya mampu menyaksikan kenaikan besar-besaran di mana ia boleh menggunung sehingga $40,000.
Namun perlu diingatkan bahwa BTC juga berupaya menyentuh semula zon sokongan $31,777 atau $30,616 dan penurunan tersebut membawa makna harganya boleh meneruskan penyusutan sebanyak 15% pada $25,941.
Manakala kripto kedua terbesar Ethereum (ETH) pula didapati secara beransur-ansur melakukan momentum kenaikan apabila harganya melepasi lebih $1,800 daripada $1,545 pada 19 Oktober minggu lepas.
Rentetan itu, ETH yang kini berada pada $1,797 perlu kekal bertahan di atas $1,727 untuk meneruskan aliran kenaikannya pada $1,910 kemudian pada $2,030, tetapi jika gagal maka harganya mampu melihat terjunan ke paras $1,551.
Sementara itu, Ripple (XRP) nampaknya pada masa ini berada pada $0.55 sejurus selepas berjaya mencapai zon rintangan kuatnya $0.58 pada 24 Oktober 2023 iaitu paras tertinggi yang pernah disentuhnya pada 13 Julai 2023.
Pelabur perlu berhati-hati susulan XRP mungkin akan menguji semula paras $0.54, bagaimanapun harga aset digital itu mampu melanjutkan kenaikannya sehingga $0.66 iaitu mencatatkan keuntungan 22% jika dapat tembus paras disebutkan itu.
Sebaliknya, XRP boleh memberi isyarat bahawa momentum kenaikan tidak cukup kuat jika harganya melakukan junaman di bawah $0.54, oleh itu aset digital tersebut dijangka akan jatuh semula untuk mendapatkan zon sokongan $0.50 atau $0.46.