Kebimbangan, kekhuatiran dan kegelisahan semakin menyelubungi dagangan pada pembukaan awal minggu ini menantikan acara besar yang akan bermula.
Pada malam ini, acara pilihan raya presiden di Amerika Syarikat (AS) akan bermula dengan seluruh rakyat negara itu akan keluar mengundi untuk calon pilihan mereka sama ada Kamala Harris dari parti Demokratik atau bekas presiden, Donald Trump dari wakil Republikan.
Penganalisis politik telah mula memerhatikan suasana pilihan raya tersebut apabila semalam telah bermula undian pos yang menyaksikan sedikit kelebihan memihak kepada Harris untuk keputusan tidak rasmi itu.
Pelabur akan tambah berjaga-jaga pada hari ini dengan jangkaan pergerakan pasaran yang tidak menentu dengan pelbagai spekulasi.
Di sesi New York malam ini, data tinjauan PMI perkhidmatan AS untuk Oktober akan diterbitkan, namun berkemungkinan akan memberi impak terhad buat mata wang US dolar berikutan tumpuan kepada pilihan raya yang bermula.
US dolar pada dagangan Isnin semalam menyaksikan pengukuhan ke atas beberapa mata wang utama di sesi New York selepas pamer penyusutan nilai dahulu pada sesi sebelumnya.
Indikator utama juga menunjukkan isyarat bercampur dengan indeks dolar (DXY) telah menurun ke paras 103.60 mata, terendah untuk 2 minggu sementara hasil perbendaharaan 10-tahun AS berjaya mencapai 4.38% untuk rekod tertinggi 4 bulan sebelum berundur ke sekitar 4.30%.
Dengan tumpuan yang terarah kepada acara pilihan raya, tidak lupa juga untuk pelabur menunggu keputusan mesyuarat FOMC pada awal pagi Jumaat nanti.
Untuk mesyuarat edisi November, Federal Reserve (Fed) dijangka untuk masih meneruskan lagi langkah pelonggaran dasar mereka, namun dengan pemotongan kadar faedah lebih kecil iaitu sebanyak 25 mata asas berbanding pemotongan 50 mata asas pada September lalu.