Dagangan tumpuan sesi Asia hari ini terarah kepada matawang yuan China yang mempamerkan penyusutan dari paras ketinggian 17 bulan setelah bank pusat memotong nisbah keperluan rizab hadapan pertukaran asing.
Pada hujung minggu, People’s Bank of China (PBOC) telah mengumumkan ia akan mengurangkan nisbah rizab keperluan menjadi sifar daripada 20%, untuk beberapa perdagangan hadapan pertukaran asing, berkuat kuasa pada hari Isnin.
Pengurangan yang secara efektif untuk menurunkan nilai yuan itu dibuat setelah matawang tersebut mempamerkan pengukuhan ketara baru-baru ini.
Pada pembukaan sesi Asia hari ini, matawang yuan dibuka pada 6.7268 berbanding US dolar dan susut lebih rendah kepada 6.7198 setelah mencatatkan kenaikan terbesar sejak 2005 pada Jumaat.
Susulan daripada pengumuman tersebut, PBOC memberitahu bahawa ia akan terus mengekalkan fleksibiliti dalam kadar pertukaran, menstabilkan jangkaan pasaran dan memastikan kestabilan yuan pada tahap yang wajar dan seimbang.
Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Timbalan Gabenor PBOC, Fan Yifei pada hari ini mengatakan kebimbangannya terhadap pertikaian antara Amerika Syarikat dan China boleh menimbulkan risiko besar terhadap keselmatan rantaian bekalan teknologi untuk rangkaian kewangan China.