Pecah Rekod! Pengeluaran Minyak OPEC Turun Ke Paras Terendah 30 Tahun

324

Pengeluaran minyak mentah oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) pada bulan Jun dilaporkan menurun ke paras terendah sejak Mei 1991 iaitu ketika Perang Teluk dengan memenuhi pemotongan yang dijanjikan.

Pada bulan Jun, OPEC telah mengurangkan pengeluarannya kepada 22.63 juta tong sehari, menurut tinjauan Bloomberg menggunakan data yang disusun oleh firma perisikan data iaitu Kpler, Rystad Energy, Rapidan Energy Group dan JBC Energy GmbH.

Seperti yang dijanjikan dalam kesepakatan April lalu, Arab Saudi memenuhi komitmennya dengan mengurangkan pengeluaran 7.35 juta tong sehari. Ia juga memenuhi pengurangan tambahan yang dilakukan secara sukarela, di mana ia akan dihentikan pada bulan Julai.

Kuwait dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) juga melaksanakan pengurangan pengeluaran tambahan secara sukarela, tetapi mereka tidak memenuhi semua pemotongan seperti yang dilakukan Arab Saudi.

Sementara itu, Angola, Iraq dan Nigeria pula gagal memenuhi komitmen mereka, di mana Angola melaksanakan pengurangan sebanyak 83% daripada pemotongan yang dijanjikan pada bulan Jun, manakala Nigeria sebanyak 77% dan Iraq hanya 70%.

Walau bagaimanapun, ketiga-tiga negara tersebut berjanji untuk menebus semula kegagalan mereka dengan membuat pengurangan tambahan pada bulan-bulan yang akan datang.

Antara faktor yang turut menyumbang kepada kejayaan OPEC dalam mencapai sasarannya adalah Venezuela yang menghasilkan hanya 340,000 tong sehari pada bulan lalu walaupun pada hakikatnya negara itu tidak terikat dengan pakatan pemotongan tersebut.

Walaupun OPEC berjaya memenuhi sasaran mereka, namun ia masih tidak mencukupi untuk menyingkirkan keresahan dalam pasaran minyak mentah berikutan kes baru coronavirus yang terus mencatatkan peningkatan.

Niaga hadapan minyak mentah Brent susut 0.9% kepada $42.73 setong, manakala WTI Amerika Syarikat pula menurun kepada $40.20 setong setelah kes baru Covid-19 di AS dilaporkan melonjak lebih 55,000 pada hari Khamis.

Anda mungkin juga berminat