Pejabat al-Jazeera diserbu oleh pihak berkuasa Malaysia semalam susulan dokumentari kontroversi yang diterbitkan bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ oleh agensi berita berkenaan baru-baru ini.
Dalam serbuan berkenaan, dua komputer milik agensi berita terbabit turut dirampas.
Al-Jazeera disiasat atas dakwaan mencetuskan hasutan, fitnah dan melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia.
Dokumentari itu yang ditayangkan pada 3 Julai lalu, mendakwa wujudnya diskrimasi kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) sewaktu kerajaan menangani masalah pandemik Covid-19.
Berikutan itu, Menteri Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu al-Jazeera menunjukkan bukti mengenai dakwaan terbabit.
Serbuan tersebut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Terdahulu, tujuh wartawan al-Jazeera ditahan oleh pihak berkuasa tempatan bagi membantu siasatan pada bulan lalu.
Selain itu, warga Bangladesh yang ditemu bual dalam dokumentari berkenaan iaitu Mohamad Rayhan Kabir turut ditahan pada 24 Julai lalu dan akan dihantar pulang ke negara asal serta tidak dibenarkan memasuki Malaysia lagi.