Pada Khamis, saham Amerika Syarikat (AS) kekal kebanyakannya tidak berubah, selepas syarikat Nvidia mengeluarkan laporan pendapatan mereka.
Pada dagangan Rabu semalam, indeks Dow Jones catatkan kenaikan sebanyak 0.32%, manakala S&P 500 kekal hampir tidak berubah, dan Nasdaq jatuh sedikit sebanyak 0.11%.
Pergerakan ini disebabkan oleh gabungan pendapatan syarikat dan kebimbangan berterusan tentang konflik global terutamanya setelah terdapat laporan mengenai Ukraine menggunakan peluru berpandu British Storm Shadow jarak jauh untuk serang wilayah Rusia.
Walaupun Nvidia berjaya mengatasi jangkaan dan menawarkan ramalan yang kukuh, sahamnya masih turun lebih 1% dalam dagangan selepas waktu kerja.
Pelabur mengharapkan sesuatu yang lebih hebat, terutamanya kerana Nvidia telah menjadi peneraju utama dalam pasaran kecerdasan buatan (AI).
Sementara itu, Snowflake, sebuah syarikat yang mengkhusus dalam perisian analisis data, melonjak 20% selepas melaporkan hasil yang lebih baik daripada yang dijangkakan.
Hari ini, perhatian pasaran beralih kepada kemas kini ekonomi seperti data tuntutan pengangguran dan data jualan rumah AS.
Pelabur juga sedang menunggu pandangan daripada pegawai Rizab Persekutuan (Fed) dan kemas kini kewangan daripada nama besar seperti Gap dan Intuit.