Pelajar China Jadi Penentu Nasib Ekonomi Australia Yang Semakin Kritikal

857

Keadaan ekonomi Australia yang kini mengharungi fasa kemelesetan buat kali pertama sejak 30 tahun lalu, akan lebih memburuk jika pelajar antarabangsa dari China akur dengan perintah kerajaan mereka untuk menjauhakn diri dan tidak berada di negara tersebut berikutan insiden perkauman baru-baru ini.

Ini adalah disebabkan pendidikan antarabangsa merupakan penyumbang keempat terbesar bagi pertukaran asing bernilai A$38 bilion (AS$26 bilion) setiap tahun, menjadikannya lebih penting berbanding perdagangan antara China yang melibatkan daging atau barli.

Tidak dapat dinafikan China merupakan rakan dagangan terpenting bagi Australia. Jumlah pelajar antarabangsa yang majoritinya dari China pada 2019, mencatatkan jumlah sebanyak 37.3% daripada 442,209 pelajar antarabangsa.

Pejabat Audit kerajaan New South Wales mendedahkan yuran pembelajaran bagi pelajar antarabangsa bagi 2019 membawa jumlah A$3.6 bilion, sepertiga daripada hasil universiti di negara tersebut.

Jika pendidikan dijadikan permainan politik dua negara ini, tiga daripada lapan institusi pengajian tinggi iaitu University of NSW, University of Sydney dan University of Wollongong akan menerima impak besar memandangkan jumlah pelajar dari China mengatasi pelajar domestik yang menuntut di universiti tersebut.

Pada Selasa, Menteri Pelajaran China memberi amaran kepada pelajar mereka untuk mempertimbangkan semula untuk pulang ke Australia ekoran daripada insiden perkauman yang melibatkan golongan Asia semasa pandemik Covid-19. Malah, amaran turut diberikan kepada pelancong China untuk mengelakkan Australia sebagai destinasi pilihan.

Menteri Perdagangan Australia, Simon Birmingham menyifatkan tindakan itu akan turut memberikan kerugian kepada pelajar China untuk jangka masa yang panjang jika tiada sebarang usaha untuk memulihkan hubungan dua negara tersebut. Beliau juga menegaskan bahawa Australia sama sekali menolak perkauman dan telah menetapkan rancangan untuk menangani masalah itu.

Tuduhan Australia terhadap China, mengaitkan campur tangan China dalam urusan Australia dan mencari pengaruh di wilayah Pasifik beberapa tahun yang lalu telah mengeruhkan hubungan mereka. Keadaan lebih parah apabila Australia menyokong tuntutan siasatan ke atas China sebagai punca kepada penyebaran wabak coronavirus baru-baru ini.

Susulan daripada desakan itu, duta besar China, Cheng Jingye berkata pengguna di negaranya akan memboikot produk Australia termasuk daging, wain, pelancongan dan institusi pengajian tinggi.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat